Pelbagai projek infra di JB tak jejas kemasukan pelancong - Sharil Nizam - Utusan Malaysia

Pelbagai projek infra di JB tak jejas kemasukan pelancong – Sharil Nizam

SHARIL NIZAM Abdul Rahim (tiga dari kiri) merasmikan Restoran Kluang RailCoffee cawangan Kota Masai, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelbagai projek pembangunan yang sedang dilaksanakan tidak menjejaskan sasaran kehadiran pelancong ke negeri ini yang dianggarkan seramai 10 juta orang, tahun ini.

Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, ini kerana negeri ini menawarkan banyak destinasi pelancongan menarik dan tidak hanya tertumpu di sesebuah daerah.

Menurutnya, kerancakan pembangunan itu juga tidak menjejaskan persiapan pihaknya dalam menjayakan Tahun Melawat Johor 2026.

“Kesemua pembangunan infrastruktur seperti pengangkutan awam, pelebaran jalan dan sebagainya tidak menjejaskan sektor pelancongan negeri, apatah lagi sambutan Tahun Melawat Johor  2026.

“Ini kerana ada infrastruktur yang telah dan akan siap tahun ini, manakala ada lagi infrastruktur lain yang akan siap tahun depan. Jadi, persiapan menjelang Tahun Melawat Johor 2026 berjalan lancar,” katanya selepas merasmikan pembukaan Kluang RailCoffee Cawangan Kota Masai, di sini hari ini.

Sharil Nizam turut memberitahu, kesesakan jalan raya khususnya melibatkan laluan-laluan utama di negeri ini adalah petanda positif bahawa pelancongan Johor terus meningkat.

“Kita maklum aduan ramai pihak bahawa jalan raya di Johor semakin sesak, namun itu petanda positif sebenarnya. Apabila semua projek infrastruktur yang sedang giat dibangunkan ini siap kelak, ia akan meningkatkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

“Tahun lepas kita berjaya merekodkan kemasukan 9.5 juta pelancong ke Johor, kita akan laksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan jumlah itu bagi mencapai sasaran 12 juta pelancong pada Tahun Melawat Johor 2026,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pembukaan semula Zoo Johor pada 31 Ogos lalu turut menyumbang kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.

Mengenai majlis tersebut, Kluang RailCoffee Cawangan Kota Masai merupakan cawangan kelapan jenama restoran berkenaan dan yang pertama dibuka di Johor Bahru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN