JAKARTA: Pelancong di kawasan pegunungan Puncak, Jawa Barat mengalami pengalaman memeritkan apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama lebih 14 jam, yang digambarkan penduduk tempatan sebagai ‘terburuk’ pernah berlaku.
Media tempatan menggambarkan kesesakan lalu lintas ini sebagai ‘mimpi ngeri’ bagi pemandu, yang berlaku semasa cuti hujung minggu panjang sempena Maulidur Rasul.
Laluan menuju kawasan pegunungan Puncak menjadi sesak apabila ribuan pelancong mengambil kesempatan untuk bercuti, menyebabkan perjalanan yang biasanya singkat bertukar berjam-jam lamanya.
Foto yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan kesesakan kenderaan sehingga pemandu terpaksa mematikan enjin dan keluar untuk duduk dan tidur di tepi jalan.
“Kami sudah biasa dengan kesesakan lalu lintas di Puncak, tetapi biasanya ia reda selepas beberapa jam.
“Sekarang saya terperangkap selama kira-kira 14 jam, dari petang semalam sehingga ke pagi ini,” kata seorang penduduk dikenali sebagai Ade kepada saluran berita Detik.
Media tempatan melaporkan, terdapat sejumlah 140,000 kenderaan melintasi kawasan Puncak, jumlahnya dua kali ganda daripada bilangan maksimum yang boleh ditampung jalan dua hala itu.
Puncak, terletak kira-kira 70 kilometer dari ibu negara Jakarta, lazimnya mengalami kesesakan lalu lintas biasa pada hujung minggu.
Kesesakan itu sekadar mengambil masa selama dua hingga tiga jam ekoran peningkatan jumlah pelancong dari kawasan Jabodetabek yang berkunjung ke ladang teh terkenal di wilayah tersebut.
Ia mempunyai jalan berliku sepanjang 22 kilometer di kaki Gunung Gede-Pangrango dari Bogor ke Cianjur, Jawa Barat.
Pada hari bekerja, pelancong boleh sampai ke wilayah ini dari Jakarta dalam masa kurang dua jam.
Selain jumlah kenderaan yang luar biasa mengunjung kawasan itu pada hujung minggu lalu, polis berkata, kesesakan juga berpunca daripada sikap tidak berdisiplin penunggang motosikal yang melawan arus.