SEREMBAN: Seorang remaja mengaku bersalah bagi pertuduhan menunggang motosikal secara melulu serta melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan parah ke atas anggota polis di Kilometer 36 (Arah Selatan), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di sini, hujung bulan Julai lalu.
Tertuduh berusia 17 tahun dan masih bersekolah hadir dengan berkerusi roda ke Mahkamah Majistret Seremban dan ditemani keluarga.
Dalam prosiding yang dilaksanakan secara tertutup itu, tertuduh membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Marlissa Mohd. Fahmy.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR menunggang kenderaan tersebut secara melulu dan berbahaya kepada orang awam di atas jalan raya secara melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap Koperal, Muhamad Aliff Adi, 36.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi pada 28 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya merayu bagi wang jaminan yang rendah berikutan bapanya mempunyai banyak tanggungan.