KLUANG: Parti Pejuang tidak akan meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota namun akan memberikan sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN).
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, walaupun hasrat pihaknya untuk menyertai PN masih belum mendapat sebarang jawapan daripada kepimpinan gabungan itu.
Katanya, sokongan kepada calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, 61, diberikan atas dasar arah serta komitmen perjuangan yang sama walaupun berlainan parti.
“Bagi kami, di mana ada UMNO tidak akan ada Pejuang,” katanya kepada pemberita.
Mukhriz berkata demikian ketika ditemui di sebuah restoran di Jalan Penghulu Kasim selepas program Pertemuan dengan Ahli Pejuang di Kluang semalam.
Menurutnya, kehadiran pihaknya dalam PRK Mahkota ini adalah sebagai bukti bahawa parti itu masih aktif dengan agenda parti yang dikatakan sepi sebelum ini.
Ujarnya, parti itu berdiam diri kerana sebab-sebab tertentu dan melakukan rancangan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Untuk PRK Mahkota, kami sudah pun melakukan gerak kerja awal dengan cara menyusup ke dalam kelompok masyarakat yang lebih condong kepada PN,” katanya