Pastikan anak dapat akses pendidikan negara - Utusan Malaysia

Pastikan anak dapat akses pendidikan negara

AZMAN Adnan (tiga dari kanan) beramah mesra dengan salah seorang graduan cemerlang selepas Majlis Komensmen Ke-23 Institut Aminuddn Baki di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua ibu bapa perlu memastikan anak-anak di bawah jagaan mereka memperoleh dan mendapat akses pendidikan mengikut arus pendidikan negara bagi mengelak berlakunya kes pengabaian dan eksploitasi ke atas kanak-kanak.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan menjelaskan, dalam konteks pendidikan, Kementerian  Pendidikan mempunyai dasar pendidikan wajib iaitu kanak-kanak berumur tujuh tahun diwajibkan mengikuti pendidikan di tahun 1 dalam sistem pendidikan negara.

“Mana-mana ibu bapa gagal menghantar anak-anak ini bagi mendapatkan pendidikan wajib boleh diambil tindakan sewajarnya. 

“Dalam konteks kes berkenaan, siasatan masih dijalankan pihak polis. Untuk itu, Kementerian Pendidikan akan memberi seluasnya peluang untuk kanak-kanak ini menerima pendidikan dalam sistem pendidikan. 

“Jadi (usaha itu) kita kena tunggu dulu, apakah hasil siasatan polis di mana ruang, peluang tersebut dan kita bantu bagi memastikan anak- anak ini dapat pendidikan seperti mana kanak-kanak lain,” katanya ketika ditemui Majlis Komensmen Ke-23 Institut Aminuddin Baki di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai peranan yang boleh diambil Kementerian Pendidikan berkaitan isu serbuan polis polis baru-baru ini ke atas 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan kerana disyaki terlibat dengan pengabaian serta penganiayaan, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak berusia setahun sehingga 17 tahun. 

Hasil serbuan juga mendedahkan terdapat kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap penghuni terdiri daripada kanak-kanak iaitu seramai 402 mangsa melibatkan 201 lelaki dan 201 perempuan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meng­gesa siasatan segera dilakukan terhadap GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB) selepas syarikat ter­sebut didakwa melakukan ak­tiviti penyelewengan akidah orang Islam dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak dan remaja.

Sementara itu, Majlis Komensmen Intitut Aminuddin Baki Ke-23 tersebut melibatkan seramai 1,375 orang graduan iaitu 685 orang graduan Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) Ambilan Tahun 2022 dan 690 orang graduan NPQEL Ambilan 2023. 

Azman pada majlis itu berkata, penting bagi pengetua dan guru besar memiliki kompetensi dalam bidang digital kerana negara telah mempunyai Dasar Pendidikan Digital.

“Ini adalah komitmen Kementerian Pendidikan untuk memastikan bahawa murid-murid di seluruh negara akan menjadi fasih digital. Guru-guru kita disediakan bagi memastikan mereka ini menjadi guru kompeten digital. 

“Oleh itu kita mengharapkan pengetua, guru besar seluruh negara seramai 10,235 orang ini juga mempunyai daya wawasan kepemimpinan digital.

“Untuk itu maka persediaan mereka ini amat diperlukan, latihan-latihan ini diberikan kepada mereka pastikan mereka mampu memacu pendidikan dalam ekosistem sekolah dalam kawalan mereka,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN