KOTA BHARU: Pas bersetuju untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal meletakkan calon bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia selari dengan persetujuan yang dicapai berkait agihan kerusi sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) lalu antara parti komponen PN.
“Setakat ini kita bersetuju Bersatu kekal bertanding di kerusi DUN Mahkota kerana mereka telah bertanding di kerusi itu pada PRU 15 atau PRN 15 lalu. Sama juga seperti di PRK DUN Nenggiri.
“Bagaimanapun perkara ini akan dibincangkan secara lebih terperinci pada Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PN pada 14 September nanti,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengesahkan Pas Pusat sudah menerima usul pindaan perlembagaan parti itu akan dibentangkan kepada ahli semasa muktamar di Kerdau, Pahang pada 11 hingga 15 September nanti.
Katanya, usul itu bertujuan untuk mengemaskini perlembagaan parti agar kekal bersesuaian dengan arus perkembangan semasa.
“Selain itu, biasalah sebagai sebuah parti politik kita pasti mempunyai sasaran untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU 16) nanti,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Takiyuddin memberitahu, pemilihan Pahang bertujuan memberi semangat kepada Pas negeri itu untuk bekerja lebih keras bagi mengukuhkan lagi parti bersama rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) di sini.
Katanya, pemilihan Pahang berbanding Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah bukan satu isu besar kerana ia tetap mengambil kira aspek kekuatan Pas di sesebuah negeri.
“Pas sebenarnya mempunyai komposisi yang mantap di Pahang dan kita mempunyai sebanyak 17 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.
” Sama jumlahnya dengan kerusi dimiliki Barisan Nasional (BN) dengan lapan lagi kerusi dimiliki Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.-UTUSAN