Pas Pahang sedia tutup premis judi, kasino jika tawan Pahang pada PRU16 - Utusan Malaysia

Pas Pahang sedia tutup premis judi, kasino jika tawan Pahang pada PRU16

ANDANSURA Rabu (kiri) dalam sidang akhbar di Kompleks Al-Makmur, Kerdau di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pas Pahang sedia menutup premis-premis perjudian termasuk kasino terbesar besar Asia Tenggara di Genting Highland, Bentong jika parti itu berjaya menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Andansura Rabu berkata, negeri ditadbir parti itu, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sudah berjaya melakukan tindakan tersebut.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut perlu merujuk kepada lunas undang-undang sedia ada dan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Dalam aspek itu kita perlu melihat kepada lunas undang-undang, kalau kita ada kuasa di peringkat negeri, kalau kita boleh buat, kita akan buat.

“Contohnya (kasino) di Genting Highland kemungkinan kuasa itu tidak mutlak kepada kita, perlu persekutuan sekali, maka itu mungkin kita tak boleh buat.

“Tetapi (kalau) dalam mana-mana dalam ruang lingkup bidang kuasa kita, kita akan melihat perkara-perkara yang mendatangkan keburukan kepada rakyat kita akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar pada Muktamar Tahunan Pas Ke-70 di Kompleks Al-Makmur di Kerdau di sini hari ini.

Mengulas lanjutx Andansura berkata, apa saja perkara yang boleh memudaratkan masyarakat perlu disokong untuk dibanteras.

“Mana-mana yang boleh boleh memudaratkan masyarakat kita perlu bersama-sama menyokong dan hapuskannya termasuk judi yang kita sebenarnya nak bertindak ini bukan sahaja orang Islam yang haramkan judi.

“Semua agama pun tak membenarkan judi, maka tidak ada alasan agama dalam isu itu, ia adalah alasan sosial. Kita menjaga kebajikan sosial dan kesejahteraan rakyat.

“Jadi ini memudaratkan kita tutuplah tetapi mesti ikut lunas undang-undang dan perlembagaan. Jadi kalau rakyat Pahang tak suka judi, nak suruh tutup judi kena sokong Pas, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN