Pas nafi ada kaitan dengan GISB - Utusan Malaysia

Pas nafi ada kaitan dengan GISB

ABDUL Hadi Awang (tengah) dalam sidang akhbar pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pas menafikan parti itu mempunyai kaitan dengan kumpulan perniagaan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB) sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut menafikan penglibatan ahli parti berkenaan dalam kumpulan terbabit.

“GISB tidak ada hubungan langsung dengan kita walaupun pihak media antarabangsa mengaitkan (dengan GISB), itu satu berita yang tidak betul.. yang salah.

“Bukan ahli kita, tidak ada kaitan dengan kita,” katanya dalam sidang akhbar pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur di sini hari ini.

Apabila ditanya tentang tindakan kumpulan itu yang menggunakan agama untuk menjalankan kegiatan mereka, Abdul Hadi berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Biar polis siasat. Kita tunggu siasatan polis,” ujarnya ringkas.

Bagaimanapun beliau memberitahu, Pas akan sentiasa mengawal institusi pendidikan milik parti itu seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) bagi memastikan kejadian seperti sedemikan tidak berlaku.

“Dalam Pas insya-Allah kita terkawal. Kita ada lajnah dan jawatankuasa yang mengawal, pentadbiran kita sendiri dan tidak ada hubungan dengan pihak lain,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Hasil saringan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan 13 kanak-kanak yang menghuni rumah amal di bawah GISB dipercayai mangsa diliwat.

Daripada jumlah itu, sebanyak empat kanak-kanak dikesan menjadi mangsa liwat melalui hasil siasatan fasa pertama dilakukan PDRM sejak 2011.

Sembilan penghuni lagi dikenal pasti ketika saringan dilakukan PDRM dalam operasi fasa kedua bermula 11 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, kesemua kanak-kanak itu dikesan membabitkan penghuni rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pulal menggesa siasatan kumpulan itu tidak dilengahkan berikutan akidah umat dan penderaan kanak-kanak merupakan perkara yang serius. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN