TEMERLOH: Pas tidak akan menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam apa jua bentuk sekalipun dan teguh mempertahankan gabungan Perikatan Nasional (PN) serta menghidupkan Muafakat Nasional (MN) yang sebenar.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, bagi menunaikan agenda politik Islam yang berpandukan hidayah, berhikmah, matang dan sejahtera, parti itu tetap berpandukan al-Quran serta sunnah.
Selain itu katanya, Pas ijtihad melalui pengalamannya dengan memilih pendekatan demokrasi damai dan perpaduan umat.
“Pas akan terus beristiqamah mengenali kalangan yang ikhlas menerima Islam adalah penyelesaian dan menolak kalangan yang telunjuknya lurus, kelengkengnya berkait.
“Pas memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, iaitu. kalangan yang tidak menghalang bahawa Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah dan penyelamat manusia yang berwawasan dunia sehingga akhirat, serta mewajibkan Islam memimpin.
“Ini bagi menjamin ‘keindukan’ Islam dan Melayu kekal terpelihara di tanah air tercinta ini,” katanya ketika berucap menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-70 bertemakan Islam Adalah Penyelesaian di Kompleks Al-Makmur di sini hari ini. – UTUSAN