KOTA KINABALU: Pas masih berteka-teki mengenai perancangan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang dijangka berlangsung tahun depan termasuk membabitkan kerjasama dengan parti lain.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, setakat ini parti itu hanya sedia memberi gambaran mengenai kemungkinan akan menyertai pilihan raya itu bersama rakan parti mereka tanpa menyebutnya secara khusus.
Menurut beliau, bagi matlamat tersebut pimpinan Pas perlu melihat terlebih dahulu kekuatan parti itu di negeri ini termasuk jentera dan sokongan rakyat sebelum membuat sebarang keputusan.
“Jika Pas memutuskan untuk bertanding, mereka perlu berbincang dengan rakan parti lain selain menilai kekuatan jenteranya bagi menentukan jumlah kerusi ditandingi.
“Ia bergantung kepada perbincangan dengan rakan parti, bergantung kepada kekuatan jentera kita.
“Kerjasama dengan parti lain juga kita akan lihat, ia masih dalam perbincangan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pas Sabah, di sini semalam.
Abdul Hadi menjawab demikian mengenai perancangan Pas untuk menghadapi PRN17 Sabah khususnya membabitkan jumlah kerusi yang disasarkan selain rakan kerjasamanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya Pas betul-betul ingin menjadi kuat, parti tersebut kena menang kerusi di Sabah.
“Sabah kena ada kerusi kita, sama ada kerusi kita (Pas) atau kita ada kawan-kawan parti lain yang bergabung dengan kita untuk sama-sama kita tubuh kerajaan…bentuk kerajaan untuk merdekakan kita 100 peratus.
“Tentang Madani yang disebut-sebut itu mengarut, kita tidak boleh terima. Kita mahu Madani sungguh, Madani yang masyarakat majmuk boleh terima..adil untuk semua. Jangan takut dengan Islam,” katanya.
Kata beliau, ketika ini Pas memerintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah dan rakyat di sini boleh bertanya kepada orang bukan Islam di negeri-negeri tersebut di mana Pas tidak menafikan hak-hak mereka.
Dalam pada itu, Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan mengadakan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain dengan rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN).