Parkir percuma Melaka dilanjutkan seminggu lagi

Parkir percuma Melaka dilanjutkan seminggu lagi

SEORANG pengayuh beca sedang mengayuh becanya di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Inisiatif khas parkir percuma kepada pelancong membabitkan kesemua 34,764 petak parkir di empat kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka yang berakhir hari ini, dilanjutkan seminggu lagi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelanjutan itu bermula hari ini sehingga 27 September bagi merancakkan lagi sektor pelancongan negeri, seterusnya mencapai sasaran Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

“Sememangnya dalam pelbagai inisiatif yang dibawa oleh kerajaan untuk meraikan kehadiran pelancong dalam kita memberikan hadiah cabutan nombor bertuah sebuah kereta telah menggamit lebih ramai orang datang melancong.

“Inisiatif memberikan parkir percuma kepada pelancong, Melaka Bila Larut Malam merendahkan lagi pembiayaan untuk menaiki kawasan pelancong ini, menarik lebih ramai pelancong di dalam kaedah Zon Bebas Kenderaaan (ZBK) yang telah kita perkenalkan selama setahun,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.

Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka menawarkan inisiatif khas parkir percuma bermula 14 September hingga 20 September.

Tawaran itu membabitkan sebanyak 14,876 petak parkir di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), 5,000 petak parkir Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), 3,500 petak parkir Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan 11,388 petak parkir Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Inisiatif itu adalah bersempena sambutan Hari Malaysia dan Maulidur Rasul yang berlangsung pada musim cuti sekolah serta kempen TMM 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN