Paras air empangan Kedah kembali meningkat

Paras air empangan Kedah kembali meningkat

ISMAIL Salleh (dua dari kiri) menunjukkan jadual penanamam padi musim 2/2024 yang akan bermula 25 September ini di Pusat Latihan MADA, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Paras empangan di Kedah mula menunjukkan peningkatan dengan status keseluruhan kedudukan semasa takungan air sebanyak 40.93 peratus.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, takungan air di Empangan Pedu kini adalah 35.82 peratus manakala Empangan Ahning (78.82 peratus) dan Empangan Muda (9.16 peratus).

“Namun, keadaan di Empangan Muda bukan sesuatu yang membimbangkan kerana takungan air boleh meningkat atau menurun dengan cepat berikutan statusnya yang menyalurkan air ke Empangan Pedu, bergantung kepada keperluan.

“Simulasi takungan air di Empangan Pedu yang dijalankan dengan mengambil kira turunan purata hujan tahunan di Kawasan Muda menjangkakan paras takungan di situ pada musim kedua 2024 adalah 46 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan MADA (MRTC) di sini, semalam.

Ismail berkata, pihaknya menghargai kerjasama daripada golongan petani berikutan peningkatan yang signifikan terhadap pematuhan jadual penanaman padi bagi musim pertama 2024.

Katanya, tahap pematuhan jadual penanaman padi bagi musim 1/2024 mencapai hingga 73.6 peratus berbanding 28.3 peratus yang dicatatkan pada musim 1/2023.

“Kami jangka peratusan pematuhan itu akan terus meningkat pada musim 2/2024. Peningkatan ini menjadi antara faktor meningkatkan hasil hingga ada petani di luar projek SMART Sawah Berskala Besar mampu memperoleh hasil 10.5 tan per hektar berbanding purata 5.18 tan,” katanya.

Jadual penanaman padi bagi musim 2/2024 akan bermula 25 September ini bagi fasa satu diikuti 5 Oktober untuk fasa dua dan 15 Oktober untuk fasa tiga.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan tempoh Tasik Pedu di sini yang kering baru-baru ini, didakwa berlarutan lebih panjang berbanding kali terakhir fenomena itu berlaku pada 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN