MELAKA: Projek penambakan bernilai RM30 juta di pesisir Pantai Puteri di sini sejauh 2.5 kilometer (km) perlu dilakukan segera bagi mengelakkan pantai peranginan popular itu diancam kemusnahan akibat hakisan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, sejak Julai lalu, hakisan telah menyebabkan tebing runtuh, struktur sebuah restoran rosak, warung terbalik dan sebuah rumah rehat lagi kehilangan pantai.
Menurutnya, keadaan itu diramal menjadi lebih serius berikutan bermulanya angin monsun dari Oktober hingga Disember ini yang akan terus menghakis pesisir pantai, seterusnya menjejaskan jalan raya, gerai, balai nelayan, tandas awam dan sebagainya.
Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) harus segera melantik kontraktor bagi memulakan kerja-kerja penambakan sebelum hujung tahun ini kerana peruntukan projek berkenaan telah diluluskan.
“Saya akui hakisan di sepanjang pesisir Pantai Puteri semakin teruk. Hakisan kini semakin menghampiri jalan raya, selain struktur pentas budaya turut terkesan.
“Kalau projek penambakan ini bermula tahun depan saya bimbang keadaan hakisan akan menjadi lebih teruk. Pokok ru yang ditanam akan tumbang dan ini menjejaskan industri pelancongan Pantai Puteri.
“Mereka (JPS) kata mereka akan cuba cepatkan projek penambakan. Tapi saya minta projek ini dilaksanakan tahun ini juga. Jika tahun depan saya bimbang pantai ini akan musnah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Program Pemerkasaan Wanita 2024, semalam.
Tambah Tuminah, sewaktu lawatan tapak minggu lalu, JPS memberitahu proses melantik kontraktor mengambil masa sehingga tiga bulan.
Ujarnya, projek tambakan sejauh 60 meter dari pantai ke tengah laut tidak akan menjejaskan nelayan terutama pencari udang geragau dan nelayan setempat. – UTUSAN