Pameran 11 etnik di Negeri Sembilan di Muzium Negeri - Utusan Malaysia

Pameran 11 etnik di Negeri Sembilan di Muzium Negeri

NOORUL Farahashikin Sakim (kanan) memberi penerangan mengenai Pameran Kepelbagaian Etnik di Negeri Sembilan yang dianjurkan Lembaga Muzium Negeri Sembilan ketika ditemui di Muzium Negeri di Seremban.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebagai pendedahan khususnya kepada generasi muda mengenai kepelbagaian etnik di negara ini selain menyemarakkan semangat perpaduan kaum, pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan mengambil inisiatif menganjurkan Pameran Kepelbagaian Etnik di Negeri Sembilan.

Pameran diadakan di Muzium Negeri di sini dan telah berlangsung bermula sejak 30 Ogos lalu sehingga 29 September ini.

Kurokator Bahagian Pemuziuman Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Noorul Farahashikin Sakim berkata, pengunjung berpeluang mengetahui dengan lebih mendalam mengenai 11 etnik yang ada di negeri ini menerusi pameran yang julung kali diadakan itu.

“Sebanyak 11 etnik itu termasuklah etnik Melayu, Cina, India, Punjabi, Orang Asli, Minangkabau, Mandailing, Rawa, Bangkahulu, Jawa dan Bugis. 

“Tujuan dianjurkan pameran seperti ini adalah bagi memberi pendedahan kepada generasi baharu terutamanya berkenaan kepelbagaian etnik yang ada, sekali gus melambangkan perpaduan kaum di negeri ini sempena sambutan Hari Kebangsaan bersekali dengan Hari Malaysia. 

“Di pameran ini pengunjung dapat mendalami dengan lebih lagi berkenaan sejarah kedatangan setiap etnik di samping elemen budi bahasanya, ciri-ciri unik, nilai murni dan pantang larangnya,” katanya ketika ditemui di Muzium Negeri di sini.

Beliau berkata, ada sebahagiaan etnik jarang diketahui orang ramai jadi ia ditampilkan menerusi pameran ini.

“Seperti etnik Mandailing di mana teori sejarahnya merupakan kumpulan budaya tradisional di Asia Tenggara. Mereka bermukim di tiga kampung iaitu Kampung Tambahtin, Kampung Baru Lanjut Manis dan Kampung Kerangai sejak 1800-an dan bermigrasi dari Perak,” katanya lagi.

Menurut Noorul Farahashikin, setakat ini pameran berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dan dikunjungi ramai khususnya dalam kalangan pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi.

“Dalam sehari kami menerima kedatangan pengunjung secara purata 70 orang daripada sekolah-sekolah tidak termasuk orang awam,” jelasnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN