Pajak telefon untuk beli makanan - Utusan Malaysia

Pajak telefon untuk beli makanan

NORAZIFA Othman bersama anaknya, Muhammad Farhan Imran dan suaminya, Mohd. Fauzi Haron di rumah mereka di PPR Taman Perling, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU Seorang tukang urut wanita terpaksa memajak telefon bimbitnya bernilai RM80 untuk membeli makanan selepas terputus bekalan keperluan selama dua hari.

Norazifa Othman, 40, terpaksa berbuat demikian selepas diserang angin ahmar hampir sebulan lalu dan wang pajakan telefon bimbit itu digunakan untuk membeli bekalan makanan mereka empat beranak.

Sejak diserang angin ahmar hampir sebulan lalu, dia tidak mampu bekerja sebagai tukang urut, malah suaminya yang bekerja sebagai penghantar barang terpaksa bercuti untuk menjaganya dan dua anak.

“Akibat diserang angin ahmar, daya penglihatan terutamanya mata kanan terjejas serta anggota badan lemah sehingga membataskan pergerakan. Saya difahamkan mengalami angin ahmar akibat tekanan darah tinggi dipercayai kurang berehat dan makanan tidak seimbang.

“Selain itu, anak bongsu kami, Muhammad Farhan Imran Mohd. Fauzi, 5, lumpuh dan memerlukan jagaan sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Blok G, Tingkat 4, Jalan Rawa 1, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Perling, di sini.

Dia menawarkan perkhidmatan urutan badan wanita dan suami, Mohd. Fauzi Haron, 49, membantu menjaga Muhammad Farhan ketika dia keluar mengurut pelanggan.

“Upah mengurut membantu  meringankan beban keluarga kerana bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM1,000 digunakan sepenuhnya untuk keperluan Muhammad Farhan termasuk membeli lampin pakai buang serta ubat.

 “Anak sulung, Fatin Nur Azwani, 16, masih belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Bandar Seri Alam, Masai, manakala anak kedua, Muhammad Faiz Irfan menghidap palsi serebrum dan meninggal dunia ketika berusia 12 tahun akibat Covid-19, tiga tahun lalu.

“Saya tidak sangka nasib kami seperti jatuh ditimpa tangga apabila saya diserang angin ahmar sehingga tidak mampu menjaga  Muhammad Farhan,” katanya.

Menurutnya, ketika ini suaminya perlu menjaga mereka dua beranak kerana selain mata bermasalah, pergerakan tidak seperti dahulu kerana kaki lemah.

“Doktor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan saya mengalami darah beku dalam otak dan berisiko diserang angin ahmar kali kedua.

 “Pada masa ini saya perlu berehat dan kami tiada pilihan melainkan memajak telefon bimbit bagi mendapatkan wang RM80. Saya harap dapat sembuh dengan cepat dan kembali bekerja untuk meringankan beban keluarga,” katanya.

 Orang ramai boleh menyalurkan bantuan kepada Nor Azifa menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0113541100018447 atau menghubungi talian 017-3646326. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN