Pahang terima lapan ambulans jenis A bernilai RM3.7 juta - Utusan Malaysia

Pahang terima lapan ambulans jenis A bernilai RM3.7 juta

WAN ROSDY Wan Ismail (dua dari kiri) melihat kelengkapan yang disediakan di dalam sebuah ambulans jenis A di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pahang menerima lapan buah ambulans jenis A daripada Kementerian Kesihatan yang keseluruhannya berjumlah RM3.7 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ambulans itu diserahkan kepada enam buah hospital iaitu dua di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan dua di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Beliau berkata, masing-masing sebuah ambulans diserahkan kepada Hospital Pekan, Hospital Bentong, Hospital Kuala Lipis dan Hospital Sultanah Hajah Kalsom Cameron Highlands.

Katanya, ambulans jenis A itu dianggarkan bernilai RM455,000 seunit dan dilengkapi kemudahan canggih tiga dalam satu termasuk boleh terus menyalurkan data berkaitan pesakit kepada hospital.

“Terima kasih kepada pihak Kementerian Kesihatan dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) kerana menyerahkan lapan unit ambulans jenis A ini.

“Saya harap ia dapat digunakan dengan sebaik mungkin dan dapat memberi manfaat dan juga kebaikan kepada rakyat negeri ini yang memerlukan bantuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai majlis penyerahan ambulans berkenaan di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Tambah Wan Rosdy lagi, Kementerian Kesihatan turut akan menyerahkan 37 unit ambulans kepada hospital dan klinik kesihatan di setiap daerah di negeri ini.

Katanya, daripada 37 unit ambulans jenis B berkenaan, 20 daripadanya akan diterima pada November nanti dan 17 lagi akan diserahkan pada Julai 2025.

“(Penyerahan) Ini bukan satu permulaan dan pengakhiran. Insya-Allah ke depan ini akan ada lagi. Kemudahan-kemudahan sebegini kita akan teruskan tetapi kita buat berperingkat.

“Kalau di daerah ataupun di klinik kesihatan kita akan hantar ambulans jenis B. Pihak kementerian dan JKNP ada kaedah tertentu untuk memberikan sama ada jenis A atau jenis B,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN