KUANTAN: Terdapat enam kes membabitkan ajaran-ajaran sesat ataupun pemujaan salah dilaporkan masih aktif di negeri ini sehingga kini berbanding 34 suatu ketika dahulu.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, semua pihak perlu menyiasat sendiri ajaran-ajaran sesat berkenaan sama ada ia suatu yang baik atau tidak.
“Cuma yang sedih itu, ada dua kes ajaran sesat di Pekan yang merupakan tempat saya dilahirkan.
“Saya minta pihak polis, jabatan agama siasat ajaran-ajaran sesat ini. Insya-Allah saya rasa ini dapat kita selesaikan dengan secara baik dan kita tidak mahu menganiayakan ataupun mengaibkan sesiapa,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah dalam pada itu mengingatkan, umat Islam perlu meletakkan agama sebagai asas kehidupan serta tidak membiarkan perbezaan politik menjadi asbab kelemahan perpaduan umat.
“Ingatlah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Saya berharap, agar semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin parti politik di Pahang khususnya bersatu dalam menjaga kesucian Islam.
“Perbezaan politik adalah perkara yang wajar dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Namun apabila ia melibatkan agama, kita perlu mengetepikan perbezaan tersebut dan bersama demi kebaikan ummah. seperti “biduk lalu, kiambang bertaut”, “berkelahi di hujung batang, berbaik di pangkal batang”.
“Walaupun ada perbezaan dan perselisihan, akhirnya kita tetap perlu bersatu demi kebaikan bersama,” titah baginda.
Baginda turut bertitah, tanggungjawab menjaga syiar Islam tidak boleh dipisahkan atau dipecah-belahkan atas dasar fahaman politik atau perbezaan ideologi.
Tegas Sultan Pahang, menjaga syiar Islam adalah tugas yang bukan hanya terletak di atas bahu ulama, pemimpin atau pihak berkuasa agama semata-mata tetapi ia tanggungjawab setiap individu muslim.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa menjaga syiar Islam adalah tugas kita bersama, tanpa mengira perbezaan latar belakang, fahaman politik ataupun pangkat,” titah Al-Sultan Abdullah.
Dalam pada itu, Sultan Pahang bertitah, baginda berasa sugul dan khuatir apabila melihat perubahan dalam masyarakat pada masa kini apabila banyak cabaran yang dihadapi oleh anak muda ketika ini.
“Dunia semakin pantas berubah dan pengaruh-pengaruh negatif dari luar mudah meresapi jiwa anak-anak muda kita.
“Justeru, usaha membangunkan sahsiah generasi muda harus diperkukuhkan dengan pendidikan agama yang mantap, bimbingan yang berterusan dan sokongan daripada seluruh lapisan masyarakat. Kita perlu mempersiapkan mereka untuk menjadi pemimpin yang berwibawa, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak,” titah baginda. – UTUSAN