Padi tidak menjadi, bapa risau yuran pengajian anak, Unimap tampil bantu - Utusan Malaysia

Padi tidak menjadi, bapa risau yuran pengajian anak, Unimap tampil bantu

MOHD. Mustafa Al Bakri Abdullah (tiga dari kanan) bersama keluarga Nur Hidayah Rohimi,22, yang mendapat tawaran menyambung pengajian di Unimap di Jalan Kaki Bukit, Beseri, Padang Besar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Tanaman padi tidak menjadi musim ini menyebabkan seorang bapa, Rohimi Shariff,46, dari Beseri di sini runsing tidak mampu membayar yuran pengajian anaknya yang mendapat tawaran menyambung pelajaran di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Anak kepada pesawah tersebut, Nur Hidayah,22, mendapat tawaran menyambung pengajian di peringkat ijazah di Unimap bagi sesi 2024/2024 dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal universiti berkenaan.

Bagaimanapun kepayahan Rohimi itu mendapat perhatian Unimap yang mengunjungi keluarga tersebut bagi memberikan bantuan dan sokongan moral.

Kunjungan tersebut adalah salah satu langkah Unimap mempamerkan keprihatinan terhadap pelajar yang memerlukan seterusnya memastikan mereka mendapat sokongan penuh dalam mengejar impian di dalam akademik.

Nur Hidayah juga terpilih sebagai penerima Biasiswa Program Dermasiswa B40 Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET).

Rohimi yang menzahirkan rasa syukur atas bantuan diberikan Unimap itu berkata, ia secara tidak langsung mengurangkan kerisauan dan bebanan mereka sekeluarga.

“Saya dan isteri pada awalnya agak risau memikirkan perbelanjaan yang diperlukan untuk menghantar anak melanjutkan pengajian kerana saya hanya bekerja sebagai petani sementara isteri adalah seorang suri rumah sepenuh masa.

“Tambahan pula, anak sulung kami merupakan orang kelainan upaya (OKU) dan anak bongsu pula masih bersekolah. Dengan adanya biasiswa ini, saya yakin Nur Hidayah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajiannya. Terima kasih Unimap kerana membantu meringankan beban kami,” katanya ketika menerima kunjungan Unimap dan pasukan daripada Unit Kebajikan dan Pengangkutan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) universiti berkenaan di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, Unimap sentiasa komited dalam menjaga kebajikan para pelajarnya.

Katanya, Unimap menyediakan pelbagai insentif kebajikan untuk memastikan pelajar tidak terbeban dengan masalah kewangan sepanjang tempoh pengajian tersebut.

“Unimap sangat prihatin terhadap kebajikan pelajar dan kami sentiasa berusaha untuk memastikan pengajian mereka berjalan lancar. Kami percaya sokongan seperti ini penting untuk memberi keyakinan dan semangat kepada pelajar agar dapat mencapai kejayaan.

“Sebagai contoh, pemberian Biasiswa Program Dermasiswa B40 TVET adalah satu inisiatif penting bagi memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya