Orang sudah tolak pinangan, takkan nak pinang lagi - Fadillah - Utusan Malaysia

Orang sudah tolak pinangan, takkan nak pinang lagi – Fadillah

FADILLAH Yusof berucap merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Sungai Tebrau, Kampung Bakar Batu, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Perpaduan tidak berhasrat untuk berbincang lagi tentang draf memorandum persefahaman (MoU)  peruntukan Ahli Parlimen pembangkang selepas ia ditolak oleh pihak berkenaan.

Walaupun MoU itu tidak dipersetujui, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia tidak menjejaskan bantuan dan projek yang direncanakan kerajaan kepada rakyat.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, MoU itu tidak memberi kesan kepada rakyat kerana peruntukan di bawah kerajaan Pusat tetap diberikan.

“Sama ada MoU itu ada atau tidak, Kerajaan Perpaduan tetap tidak meminggirkan mana-mana pihak, tak kira di kawasan pihak kerajaan atau pembangkang.

“Kerajaan Madini ini konsepnya inklusiviti, ihsan, kita kena kesaksamaan, itu konsep Madani. Kita kena memberi kepada semua, sama ada ada MoU atau tak, program dan projek tetap berjalan, rakyat tetap dapat manfaat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Sungai Tebrau, Kampung Bakar Batu, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, pintu rundingan tentang MoU peruntukan Ahli Parlimen pembangkang masih terbuka dan kerajaan sedia untuk berbincang lebih lanjut.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menjelaskan bahawa draf MoU tersebut berfungsi sebagai platform perbincangan dan bukan sebagai dokumen muktamad. 

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan MoU tersebut kerana mendakwa ia bertentangan dengan beberapa perkara termasuk berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan mengongkong kebebasan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Kerajaan Perpaduan menghormati keputusan yang diambil pembangkang mengenai draf MoU itu.

“Itulah kedudukannya, apa pun tak perlulah kita nak ulas lagi. Bukan kata tidak ada persefahaman, kita sudah beri (draf MoU), kalau mereka dah tolak, kita nak buat apa lagi.

“Apa nak kaji lagi, orang sudah tolak. Kalau kita dah pinang, tiba-tiba kena tolak, takkan nak pinang lagi, malu saya,” katanya berseloroh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN