LAHAD DATU: Pengoperasian Kompleks Penjara Lahad Datu bukan hanya membantu mengurangkan isu kesesakan penjara di Sabah malah, dapat mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, peristiwa pencerobohan kumpulan pengganas bersenjata dari Selatan Filipina meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada masyarakat di daerah ini.
Maka, pengoperasian penjara tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengembalikan keyakinan masyarakat khasnya di daerah ini terhadap keselamatan negara selepas peristiwa tersebut.
Katanya, peristiwa tersebut telah meninggalkan kesan yang amat mendalam apatah lagi ia melibatkan kedaulatan negara sehingga melibatkan kehilangan nyawa anggota keselamatan.
Beliau berkata, Penjara Lahad Datu dilihat sebagai satu transformasi penjara lama ke penjara yang paling moden di Malaysia yang dilengkapi dengan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB).
“Kompleks penjara itu akan menjadi salah satu mercu tanda di Lahad Datu khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur keselamatan komuniti.
“Dengan beroperasinya penjara ini, ia dapat membantu mengurangkan isu kesesakan penjara yang dialami oleh institusi penjara seperti Penjara Pusat Kota Kinabalu, Penjara Tawau, Penjara Sandakan dan Pusat Koreksional Labuan.
“Ini merupakan langkah positif dalam meningkatkan kualiti penahanan dengan menitikberatkan aspek layanan kepada prospek sepanjang menjalani hukuman,” katanya semasa majlis perasmian Kompleks Penjara Lahad Datu semalam.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Shamsul berkata, difahamkan kompleks penjara tersebut telah diwartakan sebagai Pusat Pemulihan Akhlak, Lahad Datu dan Pusat Pemulihan Khas Lahad Datu yang dijangka akan menempatkan tahanan dalam masa terdekat.
Kompleks Penjara Lahad Datu yang mampu memuatkan 1,500 prospek itu mula dibina pada 2017 dan berjaya disiapkan melalui kaedah reka dan bina dengan kos RM176 juta berbanding kos asal iaitu sebanyak RM200 juta yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia yang ke-11 (RMK11).
Jelas beliau, kompleks itu dilengkapi dengan kemudahan teknologi moden selaras dengan fungsinya sebagai institusi penjara kategori maksimum yang boleh menempatkan prospek daripada pelbagai kategori.