Op Global: Yadim sedia bantu pemulihan, bimbingan kanak-kanak 

Op Global: Yadim sedia bantu pemulihan, bimbingan kanak-kanak 

YADIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bersedia membantu memberi sokongan terhadap proses pemulihan, penjagaan dan bimbingan kepada kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global baru-baru ini, sesuai dengan fungsi serta peranan badan dakwah itu. 

Yayasan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar susulan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Global terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH). 

“Syabas kepada PDRM yang menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi tersebut. 

“Yadim menyokong penubuhan Jawatankuasa Khas di bawah seliaan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai tindak balas segera membantu pihak berkuasa termasuk menyedia input kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI). 

“Sesungguhnya eksploitasi manusia atas nama agama untuk tujuan apa sekalipun adalah amat buruk dan perlu ditentang bahkan mesti dibenteras apatah lagi membabitkan kanak-kanak,” kata kenyataan itu. 

Media sebelum ini melaporkan, polis menyerbu 20 buah rumah amal iaitu 18 di Selangor dan dua di Negeri Sembilan kerana disyaki terlibat dengan pengabaian serta penganiayaan, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak berusia setahun sehingga 17 tahun. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, hasil maklumat lanjut, PDRM mengesyaki terdapat penglibatan sebuah syarikat dalam kegiatan pemerdagangan manusia. 

Jelas YADIM, pihaknya berpegang teguh kepada prinsip Maqasid Syariah yang menekankan penjagaan lima prinsip utama iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dalam menangani isu tersebut. 

“Badan dakwah ini menyeru seluruh organisasi kemasyarakatan dan pertubuhan atas nama agama agar sentiasa menjaga dan memastikan kemuliaan Islam dalam setiap kegiatan dan tidak menjadi fitnah kepada agama. 

“Masyarakat diseru berhati-hati dan sentiasa peka serta melaporkan segera kegiatan-kegiatan yang mencurigakan dalam masyarakat walaupun ia dibaluti atas nama agama. 

“Sikap cakna dan ambil tahu akan menyuburkan dan menjadi dasar budaya ilmu yang segar dalam membina masyarakat bertamadun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN