OKT kes ambil alih Menara KL dibenar ke UK

OKT kes ambil alih Menara KL dibenar ke UK

Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh untuk mendapatkan pasport beliau bagi lawatan kerja dan menghantar anaknya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK).

Hakim Suzana Husin membenarkan pasport antarabangsanya yang sebelum ini disimpan oleh mahkamah sebagai syarat jaminan, dipulangkan bermula semalam sehingga 15 November depan.

Terdahulu, peguam bela, Weera Premananda yang mewakili Abdul Hamid berhujah, anak guamnya perlu ke UK untuk menghantar anaknya yang akan menyambung pelajaran di negara itu.

“Saya juga percaya pihak pendakwa tidak ada sebarang bantahan terhadap permohonan ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Dr. Ifa Sirrhu Samsudin tidak membantah permohonan tersebut.

Pada 5 April 2023, Abdul Hamid, 49, didakwa menawarkan suapan berjumlah RM7.5 juta melalui Datuk Tan Ser Lay, 61, berhubung proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat itu.

Menurut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun untuk tempoh 15 tahun itu yang didakwa bagi faedah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa sebagai dorongan mempercepatkan proses ber­kenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN