NS wajibkan nelayan terjejas akibat projek pembangunan dibayar pampasan - Utusan Malaysia

NS wajibkan nelayan terjejas akibat projek pembangunan dibayar pampasan

AMINUDDIN Harun (barisan depan, tiga dari kiri) bersama para nelayan selepas Majlis Pembayaran Pampasan Nelayan Projek Lexis Hibiscus 2 Port Dickson di Seremban.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memastikan para nelayan di negeri ini mendapat pembelaan sewajarnya jika mata pencarian mereka terjejas secara langsung akibat projek pembangunan di kawasan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, mereka tidak sepatutnya menjadi mangsa apabila sesuatu projek pembangunan dilaksanakan yang melibatkan kawasan tempat nelayan menangkap ikan.

Sebab itu, katanya, Negeri Sembilan mewajibkan para nelayan dibayar pampasan secara bulanan sepanjang pembinaan projek pembangunan di kawasan mereka.

“Negeri Sembilan menjadi negeri pertama mewajibkan pembayaran pampasan ini sehingga projek disiapkan. 

“Kami berharap peraturan ini akan menjamin kelangsungan untuk nelayan meneruskan kehidupan di samping melihat nasib mereka terbela,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembayaran Pampasan Nelayan Projek Lexis Hibiscus 2 Port Dickson di sini.

Pada majlis itu, seramai 30 orang nelayan yang juga ahli Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang (PNKTK) yang berpengkalan di Telok Pelandok menerima pampasan sebanyak RM3,000 untuk bayaran bagi bulan Jun hingga Ogos.

Mereka terdiri daripada 20 orang pemilik bot dan 11 orang awak-awak yang mana para penerima merupakan nelayan vessel tradisional.

Aminuddin memberitahu, pembangunan Lexis Hibiscus 2 merupakan sebahagian daripada lokasi penangkapan hasil laut oleh ahli PNKTK sebelum ini.

Secara umumnya, jelas beliau, para nelayan yang berdaftar di Port Dickson adalah seramai 611 orang dengan jumlah tangkapan sebanyak 187 metrik tan yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta sebulan. 

Katanya, daripada jumlah itu, katanya, para nelayan di pengkalan Telok Pelandok menyumbang sebanyak enam peratus daripada hasil tangkapan keseluruhan di Port Dickson.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pemaju projek, KL Metro atas usaha yang telah memberikan manfaat bukan sahaja kepada sektor pelancongan di negeri ini tetapi atas keprihatinan melihat perihal sosial ekonomi setempat yang melibatkan keperluan para nelayan,” katanya.

Pembangunan Lexis Hibiscus 2 yang bernilai RM1.6 bilion melibatkan pembinaan 1,710 bilik penginapan yang terdiri daripada 910 buah unit water homes dan 800 buah unit lagi adalah hotel suites. Projek itu mula dilaksanakan Jun lalu dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN