KINABATANGAN: Hasrat seorang nelayan memukat di sungai berakhir dengan tragedi apabila mayatnya ditemukan dibaham buaya di Sungai Latangan berhampiran sebuah ladang di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, mayat Brono Kamil Js Nahak, 25, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 10.45 pagi pada jarak satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan disambar buaya.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan mengenai seorang lelaki yang dikhuatiri disambar buaya semasa memukat di sungai pada pukul 6.28 pagi.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, mereka dimaklumkan mangsa dilaporkan hilang kira-kira pukul 3 petang kelmarin.
Pemanggil memaklumkan hanya menemukan motosikal, pakaian dan pukat mangsa di lokasi kejadian.
Katanya, usaha mencari dijalankan oleh rakan sekerjanya, namun mangsa gagal ditemukan.
“Pada pukul 10.45 pagi, mayat mangsa berjaya ditemukan oleh pasukan SAR pada jarak satu kilometer dari lokasinya disambar buaya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. – UTUSAN