Negeri Sembilan yakin capai sasaran tanam 1.5 juta pokok - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan yakin capai sasaran tanam 1.5 juta pokok

TENGKU Zamrah Tengku Sulaiman (tengah) menyempurnakan simbolik penanaman pokok sempena Program Kelestarian Penanaman 600 Anak Pokok Meranti dan Merawan yang merupakan program Kerjasama Hospital Pakar KPJ Seremban dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan di Hutan Simpan Serting, Jempol hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Sebanyak 1.1 juta pokok pelbagai spesies telah ditanam di seluruh negeri ini bagi menyahut saranan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara menjelang tahun hadapan.

Timbalan Pengarah Pembangunan, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Muhamad Rizal Sabran berkata, pihaknya yakin sasaran yang diberikan buat negeri ini untuk menanam 1.5 juta pokok pada tahun ini akan tercapai dengan pelaksanaan pelbagai strategi termasuk penglibatan agensi swasta.

“Dalam kempen ini, definasi pokok ialah spesies berkayu. Macam Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) tanam pokok buah, kerajaan tempatan melalui landskap buat penanaman di kawasan perbandaran baharu.

“Kami bersama dengan pihak ini untuk jadi rakan strategik. Selain itu, penglibatan pihak swasta seperti Hospital Pakar KPJ Seremban hari ini dengan menanam 602 pokok di tanah seluas satu hektar ini juga membantu mencapai sasaran berkenaan.

“Kempen ini sebenarnya memberi impak yang baik terutamanya kesedaran rakyat bagaimana untuk mencintai alam sekitar dan kami harap agar generasi akan datang dapat membantu menjayakan penghijauan ini dan menjaga khazanah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena pada Program Kelestarian Penanaman 600 Anak Pokok Meranti dan Merawan di Hutan Simpan Serting, di sini, hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan , Penerangan, Intergrasi Nasional negeri, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Mohd. Fairuz Mohd Isa, dan  Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Seremban, Nor Aidil Ikram Muhamad.

Sementara itu, Nor Aidil berkata, sempena program tersebut, seramai 100 orang kakitangan Hospital Pakar KPJ Seremban pelbagai jabatan menyertai program tersebut bertujuan untuk memulihkan kawasan hutan yang terjejas, meningkatkan biodiversiti tempatan, dan menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar.

“Program ini bukan sahaja mencerminkan komitmen berterusan Hospital Pakar KPJ Seremban terhadap kelestarian alam sekitar, tetapi juga sebagai bukti dedikasi kami dalam memelihara ekosistem hutan untuk generasi akan datang.

“Sebelum ini antara program yang kami lakukan adalah membersihkan pantai, taman dan kali ini kami bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan untuk kelestarian alam sekitar.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN