Negeri Sembilan perlukan 35 CLQ menjelang tahun 2028 - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan perlukan 35 CLQ menjelang tahun 2028

J. ARUL Kumar menunjukkan dokumen Penambahbaikan Garis Panduan Perancangan CLQ Negeri Sembilan ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan memerlukan sekurang-kurangnya sebanyak 35 buah Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) menjelang 2028 bagi memenuhi keperluan tempat tinggal kepada kira-kira 150,000 orang pekerja asing yang berada di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, setakat ini kerajaan negeri telah menerima sebanyak 17 permohonan pembinaan CLQ dengan lima buah daripadanya telah pun beroperasi.

Tambahnya, lima buah CLQ yang beroperasi itu kini menempatkan seramai seramai 712 orang pekerja asing manakala tujuh buah CLQ lagi sedang dibina manakala lima buah lagi masih belum dibina.

Beliau menjelaskan, lima buah CLQ yang telah beroperasi berkenaan kesemuanya berada dalam kawasan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) iaitu dua daripadanya berada di Nilai dan masing-masing sebuah CLQ beroperasi di Mantin, Bandar Sri Sendayan dan Bandar Enstek.

“Bagaimanapun, daripada 17 permohonan pembinaan CLQ yang diterima ketika ini, 16 daripadanya merupakan dari pihak majikan yang hanya mengkhususkan CLQ terbabit terbabit untuk dihuni oleh pekerja mereka sahaja.

“Sehubungan itu, kami menggalakkan lebih banyak permohonan daripada syarikat luar untuk membina CLQ di negeri ini selain menggalakkan lebih banyak majikan khususnya dalam sektor perindustrian untuk membina CLQ untuk pekerja masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Arul Kumar lagi, bagi meningkatkan pembinaan CLQ terbabit, Garis Panduan Perancangan CLQ Negeri Sembilan yang disediakan kerajaan negeri telahpun ditambah baik pada bulan Mei yang lalu dengan memberikan beberapa kelonggaran.

“Kelonggaran itu antaranya dengan membenarkan CLQ dibina di tanah berstatus pertanian, di kawasan yang tidak dibangunkan, di kawasan komersial dan juga di kawasan terbengkalai asalkan segala syarat dan aspek dalam penyediaan CLQ itu dipatuhi.

“Selain itu, pemaju kawasan pembangunan industri baharu di negeri ini juga adalah digalakkan untuk menyediakan tapak asrama pekerja atau CLQ di kawasan tersebut.

“Dalam tempoh masa tiga tahun ini mesti diwujudkan beberapa CLQ khususnya di kawasan daerah Seremban iaitu di Senawang, Sungai Gadut dan Nilai yang banyak kawasan industri supaya dapat menampung pekerja asing ini,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Arul Kumar, jumlah anggaran 150,000 pekerja asing di negeri ini adalah tidak termasuk mereka yang berada dalam sektor pembinaan, perladangan, perhotelan dan beberapa lagi sektor yang diberikan pengecualian untuk tinggal di CLQ.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN