Najib sakit lutut, mungkin perlu pembedahan - Utusan Malaysia

Najib sakit lutut, mungkin perlu pembedahan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin perlu menjalani pembedahan sekiranya rawatan yang sedang diberikan kepadanya ekoran sakit lutut akut tidak mengurangkan kesakitannya atau memberikan kelegaan.

Pakar Perunding Kanan Ortopedik, Jabatan Ortopedik dan Traumatologi Hospital Kuala Lumpur, Dr. Siti Hawa Tahir memaklumkan perkara itu ketika ditanya oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah di sini hari ini.

Terdahulu, pakar terbabit memaklumkan, Najib telah dirujuk kepadanya oleh Jabatan Penjara semalam dan mula diberikan opioid sejak malam semalam.

“Sebelum ini, kami telah memberikan rawatannya untuk lutut kirinya tetapi semalam beliau mengadu sakit pada lutut kanan. Disebabkan beliau mempunyai alahan terhadap beberapa jenis ubat, jadi kami telah memberikan opioid iaitu sejenis analgesia yang kuat bagi merawat kesakitannya.

“Ubat tersebut akan memberi kesan terhadap minda beliau, akan menyebabkan rasa mengantuk dan beberapa simptom lain. Beliau juga mengadu mengalami rasa mengantuk sejak kami mula berikan ubat kepadanya semalam,”kata Dr. Siti Hawa.

Ketika ditanya sama ada Najib boleh menghadiri prosiding dengan menggunakan kerusi roda, doktor berkenaan menyatakan pasukan perubatan termasuk `resuscitation trolly’ perlu diletakkan dalam keadaan bersedia di mahkamah bagi memastikan pesakit tidak mengalami kesan yang teruk akibat opioid tersebut.

“Saya tidak boleh memberi sebarang pandangan mengenai bila keradangan (yang dialami Najib) akan sembuh kerana ia bergantung kepada individu itu sendiri. Jadi kami perlu pastikan beliau sesuai dengan rawatan yang diberikan atau (jika tidak) kami mungkin perlu melakukan prosedur lain termasuk pembedahan,”kata pakar perubatan itu.

Sehubungan itu, Hakim Sequerah telah menangguhkan pendengaran hujahan di akhir kes pendakwaan yang sepatutnya memasuki hari keenam hari ini ke Khamis ini bagi mengetahui status kesihatan terkini Najib.

Sementara itu, Hakim Sequerah turut memaklumkan pihak-pihak bahawa hujahan di akhir pendakwaan itu perlu berakhir pada 4 Oktober ini.

Pada tarikh tersebut, mahkamah dijangka akan menetapkan tarikh keputusan di akhir kes pendakwaan.

Sebelum ini, hakim terbabit menetapkan 30 September ini untuk pihak-pihak menamatkan hujah masing-masing sebelum keputusan akhir pendakwaan dijangka dibuat sekitar November ini.

“Kita kehilangan dua hari yang berharga yang saya kira sebagai cuti sakit. Kita akan bersambung pada Khamis ini,”katanya.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN