Naikkan bonus buat penjawat awam jika KDNK meningkat

Naikkan bonus buat penjawat awam jika KDNK meningkat

Kerajaan diminta menaikkan bonus atau pemberian khas kepada penjawat awam jika KDNK melonjak. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu meningkatkan bayaran bonus dan bantuan khas kewangan kepada 1.6 juta penjawat awam sekiranya ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus mencatatkan peningkatan.

Setiausaha Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, langkah itu bukan sahaja sebagai penghargaan kepada kakitangan kerajaan yang berusaha memastikan ekonomi mencatatkan peningkatan, tetapi pemberian insentif mengambil kira kedudukan kewangan negara.

“Langkah ini amat wajar sebagai penghargaan kepada penjawat awam yang bekerja keras untuk negara. Jadi bantuan khas diberikan jika KDNK meningkat.

“Malah ia bertujuan untuk meningkatkan produktif dan motivasi mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah mencadangkan agar pemberian bonus kepada penjawat awam perlu selari dengan prestasi ekonomi negara meningkat berdasarkan ukuran KDNK.

Beliau memberi contoh, jika ekonomi meningkat tiga peratus kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian bonus enam bulan untuk mereka bergaji RM5,000 ke bawah manakala yang gaji RM5,000 sehingga RM10,000 untuk tiga bulan.

Sebelum ini, dua bank pelaburan iaitu Hong Leong Investment Bank (HLIB) dan CIMB Research mengekalkan unjuran mereka untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia melebihi 5.0 peratus untuk 2024, mengaitkannya dengan persekitaran ekonomi domestik yang menyokong dan pemulihan dalam permintaan luaran.

Namun Abdul Rahman berkata, langkah pemberian bantuan khas kewangan dilihat lebih sesuai berbanding bonus yang dikenakan cukai sekali gus menyebabkan pendapatan bersih rendah.

“Justeru, selama ini kerajaan memberikan bantuan khas kewangan berbanding bonus,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, terserah kepada kerajaan untuk menentukan kaedah terbaik demi memastikan kebajikan 1.6 juta penjawat terus terbela.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN