Muktamar Pas lulus pindaan perlembagaan, wujud peruntukan antilompat parti - Utusan Malaysia

Muktamar Pas lulus pindaan perlembagaan, wujud peruntukan antilompat parti

TAKIYUDDIN Hassan ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Muktamar Tahunan Pas hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi mewujudkan peruntukan yang jelas dan tegas untuk menangani isu lompat parti.

Perkara itu dipersetujui dua pertiga daripada 1,324 perwakilan parti sempena Muktamar Pas Tahunan kali ke-70 di Kompleks Al-Makmur di sini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pindaan peruntukan anti lompat parti tersebut diperkenalkan bagi menangani isu berkenaan pada masa depan.

“Mana-mana ahli yang menyertai atau menyokong parti lain yang tidak dianggotai Pas, atau mengambil tindakan bertentangan dengan pendirian parti, akan kehilangan keahlian secara automatik.

“Peruntukan Fasal 15A juga meliputi ahli yang memilih menjadi wakil rakyat bebas.

“Ini penting bagi memastikan disiplin dan kesetiaan ahli yang memegang jawatan dalam badan perundangan,” jelasnya ketika membentangkan usul berkenaan.

Selain usul berkenaan antilompat parti, muktamar Pas turut meluluskan usul berkenaan penubuhan dewan baharu, pemerkasaan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), mengemaskini peruntukan berkaitan dewan-dewan dan pindaan isu-isu pentadbiran.

Selain itu, usul lain yang turut dipersetujui adalah mewujudkan peruntukan berkaitan lembaga pemegang amanah serta pindaan berkaitan isu-isu teknikal.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pucuk pimpinan parti itu memutuskan mewujudkan peruntukan yang jelas dan tegas untuk menangani isu lompat parti memandangkan parti-parti politik lain sudah menerima pakai peruntukan sedemikian dalam perlembagaan masing-masing agar selaras Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang anti lompat parti diperkenalkan dalam Perlembagaan Persekutuan pada 2022 melalui rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN