KLUANG: Sebuah lagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan dibina khusus untuk menempatkan anak-anak pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pembinaan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu akan menjadi MRSM kedua dikhususkan bagi anak-anak ATM selepas sebuah MRSM sedia ada di Kem Terendak, Melaka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimana pun pihaknya akan terlebih dahulu membincangkan dengan Kementerian Pertahanan di mana MRSM berkenaan akan dibina atau mengguna pakai empat buah MRSM yang telah dibina namun belum beroperasi.
Katanya, apa yang sudah dilakukan di 57 MRSM di seluruh negara ketika ini adalah memperkenal pengajian baharu, iaitu hafazan ulul albab dan permulaannya kepada pelajar beragama Islam tingkatan satu.
“Walau bagaimanapun, pengajian baharu ini tidak akan mengetepikan bidang akademik atau bidang pilihan apabila mereka berada di tingkatan dua hingga lima.
“Hasil daripada ujian yang diperoleh, anak-anak atau pelajar yang telah mengikuti ulul albab lazimnya pencapaian akademiknya lebih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Kem Mahkota, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menambah peruntukan bagi pembangunan pendidikan Islam sebanyak RM1.9 bilion tahun ini berbanding RM1.4 bilion pada 2023.
Katanya, dengan adanya peruntukan sebanyak itu, adalah sesuatu yang mustahil untuk mengatakan bahawa agama Islam di negara ini dipinggirkan.
“Jelas apa yang dilakukan Kerajaan Madani ini adalah membantu pembangunan Islam dan pendekatan itu berbeza dengan pihak pembangkang yang menggunakan agama untuk kepentingan sendiri,” katanya. – UTUSAN