MPHTJ nafi abai aduan pokok tumbang

MPHTJ nafi abai aduan pokok tumbang

SEBATANG pokok tumbang dan menghempap sebuah rumah di Kampung Teluk, Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak mengambil tindakan segera berhubung aduan risiko pokok tumbang yang dibuat penduduk.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, hampir 600 pokok yang dikenal pasti berisiko di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah ditebang setakat September tahun ini.

Menurut beliau, sebanyak 267 pokok lagi sedang dalam tindakan penebangan yang dijangka selesai pada bulan hadapan.

“Kita banyak menerima aduan yang mengatakan pokok tersebut kritikal tetapi setelah diperiksa sebenarnya tidak berisiko. Bagaimanapun saya telah mengarahkan kakitangan untuk menilai semula pokok-pokok ini agar tindakan susulan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Justeru, MPHTJ menafikan tidak ambil peduli setiap aduan seperti yang didakwa. Kalau betul tiada tindakan dibuat, tidak mungkin beribu pokok telah ditebang setakat ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pihaknya gagal bertindak terhadap aduan risiko pokok tumbang sehingga menyebabkan sebuah rumah pusaka di Kampung Teluk, Bukit Katil di sini yang didiami kira-kira 15 sekeluarga dihempap pokok, Isnin lalu.

Dalam pada itu, mengenai kejadian rumah dihempap pokok, Sapiah memaklumkan, pokok berkenaan telah ditanda untuk ditebang pada 14 September, namun terpaksa ditunda dua atau tiga hari disebabkan jadual kerja kontraktor tidak mengizinkan.

Katanya, pokok tersebut tumbang sebelum ia sempat ditebang.

“Pemilik rumah dinasihatkan untuk mengemukakan tuntutan insurans liabiliti awam dan MPHTJ akan memberi sedikit sumbangan kepada tuan rumah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN