MoU tidak ikut sifat tabii amalan demokrasi - Utusan Malaysia

MoU tidak ikut sifat tabii amalan demokrasi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pas menolak tawaran Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang oleh kerajaan berjenama madani yang tidak mengikut sifat tabii sebenar mengikut amalan demokrasi yang menepati ajaran Islam.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Islam mewajibkan adil kepada semua dan tidak berbohong apabila mengadakan perjanjian.

“Kerajaan negeri Terengganu dibatalkan perjanjian royaltinya, manakala kerajaan Kelantan pula dinasakhkan perjanjian royaltinya. Adapun Kedah dan Perlis hanya ada minyak gamatnya sahaja.

“Kerajaan Pusat sepatutnya menguji kemampuan empat kerajaan negeri dengan memberi peluang kepada masing-masing untuk mengurus dan mentadbir sendiri.

“Kita meminta dengan cara damai dan baik berkonsepkan federalisme, amalan demokrasi sebenar yang adil dan tidak berlaku zalim, tidak berbohong dan tidak mengkhianati perjanjian dengan semangat cintakan negara berkonsep perpaduan yang sebenar walaupun berbeza ideologi dan agama,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, penolakan MoU itu juga dibuat kerana kerajaan Pusat pada hari ini berkonsepkan Jibayah yang menjadikan harta rukunnya yang pertama tanpa mengira halal atau haram, betul atau salah.

“Terpentingnya, ada sumber ekonomi daripada semua pihak sama ada dalam negeri, termasuk melalui rasuah, judi dan segala jenis maksiat, termasuk pergantungan kepada penjajahan ekonomi melalui negara asing, Bank Dunia (World Bank), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Blackrock dan lain-lain.

“Kerajaannya penakut dan tidak istiqamah kerana mencari keredaan manusia bukan keredaan Allah. Banyak negara yang diisytiharkan kemerdekaannya pada namanya sahaja, tetapi hatinya tetap bergantung kepada penjajah. Inilah yang memerintah negara kita sekarang,” katanya.

Beliau berkata, banyak lagi dalil yang nyata mengapa Pas tidak menyertai kerajaan bernama perpaduan yang hakikatnya tidak berisi perpaduan dan kerajaan Madani yang masih mentah amalannya dan tidak mempunyai ramuan yang nyata halalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya