MOSTI sasar 1.6 juta penyertaan dalam Malaysia Techlympics 2024 - Utusan Malaysia

MOSTI sasar 1.6 juta penyertaan dalam Malaysia Techlympics 2024

AMINUDDIN Hassim melihat para peserta membuat model robotik pada Majlis Penutupan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Selatan di Dewan Sultan Ibrahim UTHM, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan penglibatan seramai 1.6 juta murid dan pelajar dalam program Malaysia Techlympics, tahun ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, jumlah itu melibatkan penyertaan secara fizikal mahupun secara dalam talian.

Menurutnya, usaha meningkatkan jumlah penyertaan murid dan pelajar dalam program tersebut penting bagi meningkatkan minat golongan muda dalam Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

“Seperti kita tahu, minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menurun. Oleh itu, kita sediakan format berbeza daripada pembelajaran dalam kelas, iaitu secara ‘gaming’, pertandingan dan ‘networking’.

“Kita jangka kaedah itu akan beri lebih keterujaan kepada generasi muda untuk turut serta dan berkumpul dengan rakan-rakan yang sama minat. Ini penting kerana kita mahu mencapai tahap negara maju menjelang 2030,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Selatan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Ruzairi Abdul Rahim; Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Ruziah Shafei dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia, Dr. Sharmila Mohamed Salleh.

Aminuddin berkata, MOSTI komited melaksanakan inisiatif bagi memupuk minat murid, pelajar dan belia terhadap STI,  termasuk menerusi program Malaysia Techlympics yang telah memasuki tahun ketiga penganjurannya.

“Antara teknologi yang berkembang pesat ketika ini adalah kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang banyak diguna pakai dalam bidang perniagaan dan beberapa industri yang berkaitan. 

“Antara aspek ditekan dalam Malaysia Techlympics adalah seperti kecerdasan buatan, pengkodan, pengkomputeran, dron dan banyak lagi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya