KOTA BHARU: Perwakilan Pas dari Perlis Mohd. Saifizi Saidon yang membuat teguran terbuka ke atas parti semasa membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al Makmur, Kerdau, Temerloh, Sabtu lalu selamat apabila tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas individu tersebut.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan semasa ditemui pemberita semasa Sambutan Pesta Tanglung Kelantan 2024 di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, surat yang tular di laman sosial itu adalah palsu dan sehingga kini tiada sebarang tindakan dikenakan keatas Mohd. Saifizi.
“Setakat ini kita (Pas) tidak mengambil sebarang tindakan ke atas perwakilan dari Perlis itu.
“Mengenai teguran itu, perkara tersebut tersebut dalam perhatian pihak kita (Pas). Bagaimanapun, kita perlu teliti terlebih dahulu perkara tersebut,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Mohd. Saifizi Saidon menyelar kepimpinan parti yang didakwa gagal memantau kualiti pemimpin dan menteri besar di negeri-negeri yang diterajui oleh parti itu.
Katanya, ada negeri yang menteri besar tidak menghadiri mesyuarat badan perhubungan negeri yang sepatutnya menjadi panduan kepada kerajaan.
Malah, kata Mohd Saifizi, akhlak dan asas kepimpinan Islam yang sepatutnya dipegang telah terabai berbanding pada masa lalu apabila Pas begitu ketat mengawal selia kualiti kepimpinannya dengan sangat ketat.-UTUSAN