'Minta maaf cepat, keluarga 'Abang Bas' mahu saman - Peguam - Utusan Malaysia

‘Minta maaf cepat, keluarga ‘Abang Bas’ mahu saman – Peguam

AHMAD ZAHARIL Muhaiyar (belakang) memerhatikan 'Abang Bas' memeluk ibunya selepas membayar jaminan di Kompleks Mahkamah Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: ‘Sesiapa yang nak minta maaf, minta maaf cepat jangan sampai kita ke mahkamah. Iyalah, masing-masing nak tunjuk cerdik pandai.”

Itu pesanan Peguam probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili ‘Abang Bas’ bahawa ahli keluarga tertuduh bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap individu termasuk selebriti yang menyebarkan pelbagai tohmahan terhadap anak guamnya. 

Pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dan menasihati supaya mereka membuat permohonan maaf segera kepada ahli keluarga serta tertuduh sebelum tindakan saman diteruskan.

“Kita telah kenal pasti (individu) ramai, kepada haters yang buat komen saya cadangkan pecahkan tabung-tabung yang ada, tabung buluh, tabung ayam, kira siap-siap (duit). Jadi, senang kerja kami (saman),” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Muar, hari ini.

Ditanya sama ada individu terlibat turut membabitkan selebriti, beliau tidak menafikan perkara tersebut.

“Mengapa tidak (selebriti), siapa-siapa sajalah. Sebab selama lima, enam hari ini dia (tertuduh) dihentam seperti tiada nilai, macam tidak ada waris dan ini tidak adil, undang-undang yang ada sangat jelas,” katanya sambil memaklumkan pihaknya juga akan cuba mendapatkan semula bas sekolah yang disita oleh pihak polis dan pengurangan jaminan.

Menurutnya, pada masa terdekat ini pihaknya  akan membuat permohonan kerana semua afidavit sudah siap untuk ditandatangani.

“Kita kena lihat perspektif keseluruhan dan bila ada yang kata dia pedofilia itu tidak adil, semua tidak kenal pun dia tiba-tiba rasa cerdik pandai. Paling mengecewakan adalah dia berada di situasi yang tidak dapat mempertahankan dirinya,” katanya.

Tertuduh berusia 24 tahun itu ditahan sejak 6 September lalu dan didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap dua kanak-kanak termasuk anak saudaranya berusia empat tahun.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) dan 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dan 15 akta sama serta turut didakwa di Mahkamah Batu Pahat atas pertuduhan membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dan didakwa di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Dalam pada itu, bapa ‘Abang Bas’ mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sudi menyumbang wang jaminan untuk anaknya berjumlah RM40,000.

Dia dan ahli keluarganya berjanji akan memantau pergerakan anaknya selepas diikat jamin bagi memastikan prosiding di Mahkamah Sesyen Muar dan Mahkamah Sesyen Batu Pahat berjalan lancar sehingga kes selesai.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong, membantu dari segi kewangan mahupun tenaga, hanya Allah SWT yang mampu membalas budi baik mereka. Selepas dibebaskan (diikat jamin) saya kena pantau sendiri dengan ahli keluarga sampai kes ini selesai,” katanya sambil menzahirkan perasaan terharu kerana ramai pihak yang tampil untuk membantu anak bongsu daripada enam beradik itu termasuk menawarkan pekerjaan kepadanhya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya