KUALA LUMPUR: Beberapa dokumen berkaitan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa berkaitan dengan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan suami sudah diserahkan kepada polis hari ini.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, dokumen itu diserahkannya ketika polis mengambil keterangan beliau di Pejabat Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) pada pukul 9.30 pagi tadi.
Katanya, beliau bersama ahli jawatankuasa MHO, Azirul Shafiq dipanggil membantu siasatan kes yang sedang disiasat oleh polis.
“Kami dipanggil untuk rakam percakapan berkaitan isu pemerdagangan manusia melibatkan individu-individu tertentu termasuk rakyat Malaysia.
“Selain itu, kami juga telah melakukan serahan dokumen mengenai laporan dikeluarkan United State Institute of Peace yang mendedahkan penglibatan rakyat Malaysia dalam kes pemerdagangan manusia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, United State Institute of Peace telah mengeluarkan jurnal berkenaan sebelum disiarkan di dalam portal.
“Dokumen ini telah disiarkan dalam talian untuk tatapan umum dan ianya merupakan rahsia terbuka dan ditulis secara jelas.
“Amat ketinggalan, jika kita tidak lakukan siasatan berhubung pendedahan itu. Jadi kita telah serah dokumen berkenaan kepada pihak penyiasat,” jelasnya.
Beliau menambah, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah menyelamatkan 300 mangsa pemerdagangan manusia yang teraniaya dan dizalimi sudah pasti bertanggungjawab.
“Laporan begini perlu disiasat dan diteliti kerana bukan lagi rahsia. Tambahan pula, sudah berada dalam tatapan semua orang.
“Pihak berkuasa perlu merujuk jurnal berkenaan malah syarikat Dong Mei yang didedahkan dalam laporan itu telah pun disenarai hitam oleh Amerika Syarikat,”ujarnya.
Dalam pada itu, Hishamuddin berharap, siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa bukan kes terpilih.