GUA MUSANG: Sebuah lagi kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) diwujudkan di Stesen Minyak Shell berhampiran kawasan Rawat dan Rehat (RNR) Rantau Manis di sini bagi memberikan kemudahan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Ini merupakan ATM ketiga selepas kemudahan itu disediakan berhampiran Balai Polis Bertam dan SMS Maju Solutions, Jerek Baru di sini.
Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie berharap kemudahan ini bukan sahaja untuk penduduk Nenggiri malah golongan perantau yang menggunakan laluan Gua Musang ke Kota Bharu.
“Terima kasih buat pihak Maybank kerana memudahkan urusan menghadirkan mesin ATM ini di bumi Nenggiri,” tulis menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, penduduk di Nenggiri menarik nafas lega apabila impian untuk menikmati kemudahan ATM kenyataan apabila keluhan mereka didengari oleh pihak berkenaan.
Terdahulu, lebih 30,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri melahirkan rasa lega dan gembira apabila mereka kini tidak perlu meredah perjalanan sejauh 50 kilometer (km) untuk mengeluarkan wang berikutan kawasan itu sudah dilengkapi dengan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM).-UTUSAN