Menu RM10 ‘Melaka Bila Larut Malam’ diperkenalkan

Menu RM10 ‘Melaka Bila Larut Malam’ diperkenalkan bulan depan

AB. RAUF Yusoh menyampaikan replika cek pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024 di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selepas berjaya menarik ribuan pelancong ke 10 lokasi tumpuan dengan bayaran RM10 melalui program ‘Melaka Bila Larut Malam’, kerajaan negeri akan memperkenalkan pula menu makanan dengan kadar bayaran sama bermula bulan depan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, semua pemilik restoran sekitar Banda Hilir di sini dipohon bekerjasama bagi melaksanakan menu RM10 sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

“Kita menggalakkan pemilik restoran dan gerai makan untuk mengolah menu RM10 di premis mereka kerana ini bakal menjadi ikon tarikan Melaka Bila Larut Malam.

“Jadi terserah kepada mereka untuk mengolah apa sahaja menu dan apa sahaja kaedah asalkan makanan yang ditawarkan pada harga RM10,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024 di sebuah hotel di Banda Hilir, malam tadi.

Tambah Ab. Rauf, pengusaha restoran diyakini turut sama menerima limpahan ekonomi daripada kunjungan pelancong Melaka Bila Larut Malam, pada Sabtu minggu pertama setiap bulan.

Menurutnya, ia juga memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati produk pelancongan termasuk makanan pada harga lebih rendah berbanding sebelah siang.

“Kita dapat buat perancangan yang baik datang naik bot Melaka River Cruise (MRC) RM10, pergi Zoo Melaka RM10 dan makan pun RM10. Terserah kepada pekedai hendak fikirkan RM10 itu macam mana,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN