‘Melaka Bila Larut Malam’ edisi 31 Ogos tarik lebih 10,000 pelancong

‘Melaka Bila Larut Malam’ edisi 31 Ogos tarik lebih 10,000 pelancong

PROGRAM Melaka Bila Larut Malam di Dataran Stadthuys, Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Program ‘Melaka Bila Larut Malam’ edisi khas sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 yang berlangsung malam Sabtu lalu berjaya menarik lebih 10,000 pelancong ke negeri ini.

Program khas bersempena tanggal 31 Ogos itu menyaksikan seramai 5,123 pelancong mengunjungi lapan pusat pelancongan yang menawarkan harga serendah RM10, manakala 5,078 lagi pelancong memeriahkan sambutan di Dataran Stadthuys, Banda Hilir di sini iaitu di kawasan Zon Bebas Kenderaan (ZBK).

Mengikut statistik dikeluarkan Bahagian Promosi Pelancongan Negeri, seramai 1,879 pelancong menaiki bot Melaka River Cruise (MRC), Menara Taming Sari (776), Zoo Melaka (732), muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (376), Muzium Penjara Malaysia (202), Cool Ghost Museum (130), Malaysia Heritage Studio (851), Air Panas Jasin (75) dan Air Panas Cherana Putih (102).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, situasi itu pastinya merancakkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan yang menyasarkan ketibaan seramai 18.7 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

“Kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pelancong dan pengunjung yang menyokong program Melaka Bila Larut Malam.

“Kepelbagaian pengisian program yang mengisi kalendar TMM 2024 seperti Melaka Bila Larut Malam secara tidak langsung mampu menjana pertumbuhan hasil ekonomi, khususnya kepada penggiat industri pelancongan dan peniaga,” katanya.

Tambah Ab. Rauf, adalah tidak mustahil untuk program yang mendapat sokongan daripada penggiat industri pelancongan dan peruncitan itu dijadikan satu lagi produk pelancongan baharu negeri ini.

“Penganjuran Melaka Bila Larut Malam adalah terhad dilaksanakan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan sempena TMM 2024,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN