PONTIAN: MCA akan menjadikan kemenangan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 2019 sebagai pembakar semangat dalam memastikan kemenangan calon UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sebagai parti komponen BN, MCA akan membalas jasa dan pengorbanan jentera UMNO yang berusaha keras memenangkan calon MCA ketika itu, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng.
Katanya, jentera UMNO telah memenangkan calon MCA yang mewakili BN ketika itu.
“BN Johor ada kelainan dan keunikan serta semangat Tanjung Piai akan diterjemahkan dalam konteks gerak kerja PRK. Maka, apabila UMNO bertanding di PRK DUN Mahkota, kita akan melakukan perkara yang sama, membantu UMNO dan inilah sebenarnya semangat BN sejak ditubuhkan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Sayap Pemuda dan Wanita MCA di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini yang dihadiri Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon dan Ketua Wanita MCA, Datuk Wong You Fong.
Ka Siong berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dilantik sebagai Pengarah Kerja MCA bagi PRK DUN Mahkota.
“Jentera pilihan raya MCA melibatkan 26 bahagian di Johor akan diselaraskan bagi membantu calon BN dan memastikan kemenangan berpihak kepada kita. Kita ada strategi, namun tak boleh didedahkan, apa yang penting akan buat yang terbaik untuk memenangkan calon BN,” katanya.
Justeru, pihaknya akan sentiasa mengikut arahan Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Menteri Besar Johor bagi membina koordinasi dan kerjasama lebih baik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 14 dan 24 September.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang pada 2 Ogos lalu.
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara. – UTUSAN