MBS sita lima premis jalankan aktiviti judi dalam talian - Utusan Malaysia

MBS sita lima premis jalankan aktiviti judi dalam talian

ANGGOTA penguat kuasa MBS menyita sebuah premis yang didapati menjalankan aktiviti nombor ramalan haram dan judi dalam talian di Taman Bandar Ekar, Rantau, Seremban baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak lima premis perniagaan yang didapati menjalankan aktiviti judi dalam talian dan nombor ramalan haram telah disita pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) setakat ini, pada tahun ini. 

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, terbaharu sitaan turut dilakukan hasil serbuan yang dijalankan ke atas sebuah premis perniagaan di Taman Bandar Ekar Rantau pada 2 September lalu.

“Tindakan penguatkuasaan ke atas premis itu diambil selepas MBS menerima maklumat awam berkenaan kegiatan yang melanggar undang-undang tersebut. 

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat seorang penjaga warga Indonesia berusia lingkungan 38 tahun. 

“Hasil siasatan lanjut mendapati, premis perniagaan tanpa lesen berkenaan telah beroperasi selama setahun,” katanya ketika dihubungi.

Berikutan itu, katanya, sitaan telah dilakukan dan kompaun telah diberikan kepada pemilik premis dibawah Undang-Undang Kecil (UUK) Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPS 1996). 

“Premis juga diarahkan tutup serta-merta dan dipasang pita merah bagi mengelakkan aktiviti diteruskan,” katanya. 

Beliau berkata, MBS akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengekang premis perniagaan tanpa lesen berkenaan dibuka kembali.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN