‘Mayat dua beranak terpisah 50 meter’

‘Mayat dua beranak terpisah 50 meter’

MUHAMMAD Rosman Rohadi yang lemas bersama ibunya, Salmah Mat Zain ketika banjir di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang di Padang Terap. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: “Hubungan me­reka sangat rapat dan pergi ke mana-mana pun bersama. Masa kejadian itu pun Rosman pegang tangan mak dia, mereka juga di­lihat berpelukan sebelum hilang dihanyutkan arus deras.”

Demikian menurut Md. Tajuddin Awang Muhammad, 47, bapa saudara kepada Allahyarhamah Salmah Mat Zain, 46, yang turut lemas bersama anaknya, Allahyarham Muhammad Rosman Rohadi, 19, di Kampung Tanjung Kanan, di sini.

Menurutnya, Salmah yang menyara hidup sebagai penoreh getah hanya tinggal berdua dengan anaknya di kampung itu sementara Muhammad Rosman masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap dengan mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Malah, mayat dua beranak itu ditemui berhampiran antara satu sama lain iaitu pada jarak kira-kira 50 meter sahaja. Itu menunjukkan mereka tetap bersama ketika dihanyutkan arus banjir ketika kejadian semalam,” katanya.

Ujar Md. Tajuddin, dia tinggal satu kampung dengan dua beranak itu tetapi jarang berjumpa antara satu sama lain namun mengakui kedua-dua arwah sangat baik.

Tambahnya, dua beranak itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Kampung Tanjung Kanan, petang semalam.

Sementara itu, seorang guru kepada Muhammad Rosman iaitu Norhidayah Shaari, 40, tidak dapat menahan kesedihan kerana sudah enam tahun mengenali dan mengajar arwah di SMK Padang Terap.

“Sebaik sampai di lokasi, saya tengok tempat Rosman dan ibunya hilang sambil sebut beberapa kali Rosman timbullah, timbullah walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Alhamdulillah, tidak sampai 10 minit mayat Rosman berjaya dijumpai.

“Dia seorang yang tidak ba­nyak bercakap, tetapi sangat ba­ik dan bertanggungjawab. Ar­wah patuh segala arahan yang di­berikan dan saya berhasrat untuk bantu dia menduduki Sijil kemahiran Malaysia (SKM), selain mencari pekerjaan buatnya kelak, namun semuanya tidak kesampaian,” jelasnya.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan Salmah dan Muhammad Rosman hilang selepas diha­nyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk pulang ke rumah mereka kira-kira pukul 8.15 pagi, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya