Masukkan projek lebar laluan Simpang Renggam-Yong Peng Utara dalam Belanjawan 2025 - Ahmad - Utusan Malaysia

Masukkan projek lebar laluan Simpang Renggam-Yong Peng Utara dalam Belanjawan 2025 – Ahmad

AHMAD Maslan melihat model batu brick ketika melawat ruang pameran selepas merasmikan HCC 2024 di Hotel Renaissance, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Kerja Raya berharap kerja pelebaran Lebuhraya Utara-Selaan fasa ketiga di negeri ini yang bermula dari Simpang Renggam ke Yong Peng Utara akan dimasukkan dalam Belanjawan 2025.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu merupakan hasrat yang telah lama disuarakan kerajaan negeri dan para pengguna lebuhraya berkenaan.

“Fasa pertama dari Senai Utara ke Sedenak melibatkan jarak 21 kilometer telah dimulakan, manakala fasa kedua dari Sedenak hingga ke Simpang Renggam telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Kita harap projek pelebaran lebuhraya itu akan dibuat sehingga ke Yong Peng Utara, jika boleh lebih jauh lagi kita mahu. Kita akan bawa cadangan ini kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan ‘Highway Concession Conference’ (HCC) 2024 di Hotel Renaissance, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

Kementerian Kerja Raya menganggarkan pembinaan fasa ketiga projek itu akan melibatkan kos sehingga RM1 bilion yang melibatkan jarak kira-kira 41 kilometer.

Dalam pada itu, HCC 2024 dihadiri 300 peserta bagi mendalami pelbagai aspek pembangunan dan pengurusan lebuhraya di negara ini.

Seramai 15 pembentang dari dalam dan luar negara terlibat dalam program tiga hari itu, antaranya pakar polisi dan dasar kerajaan, Datuk Seri Idris Jala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN