'Masih wujud elemen pembaziran' - KSN - Utusan Malaysia

‘Masih wujud elemen pembaziran’ – KSN

SHAMSUL Azri Abu Bakar ketika menyampaikan amanat pada Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengakui masih wujud budaya pembaziran makanan pada setiap majlis anjuran agensi, jabatan dan kementerian.

Teguran itu dibuat Shamsul Azri ketika menyampaikan amanat pada Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 di sini, hari ini.

Menurutnya, budaya pembaziran itu dilihat tidak memberikan pulangan nilai untuk wang yang telah dilaburkan.

“Kita buat majlis besar-besaran, tapi tidak memberikan pulangan nilai untuk wang yang dilaburkan. Selain itu, kelihatan banyak juga pembaziran makanan pada setiap majlis yang diadakan,” katanya.

Katanya, beliau mendapati penjawat awam mudah berasa selesa dengan apa sedia ada dan ia terjadi kerana kurangnya penghayatan terhadap nilai-nilai yang menunjangi sebagai seorang insan.

Justeru, katanya, selaras aspirasi baharu, ‘Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam’ yang ingin dibawanya, isu pembaziran itu telah diletakkan di bawah lima bidang keberhasilan reformasi di bawah agenda baharu itu.

Shamsul Azri berkata, di bawah ‘Penghayatan Nilai dan Tatakelola’, beliau akan memastikan perbelanjaan wang awam dibuat secara berhemah.

Menurutnya, pengawalan sumber melalui amalan penjimatan dan larangan pembaziran perlu dilakukan segera.

“Justeru, satu pekeliling berkenaan dengan perkara ini perlu diwujudkan dengan mengambil kira elemen pemantauan.

“Malah, saya mahu pengiktirafan diberikan kepada kementerian yang dapat membuat penjimatan yang ketara. Saya juga minta Kementerian Kewangan (MOF) agar dapat meneliti perkara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN