Mashitah saman MHO, dua yang lain kaitkan beliau dengan pemerdagangan manusia - Utusan Malaysia

Mashitah saman MHO, dua yang lain kaitkan beliau dengan pemerdagangan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menyaman Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berhubung kenyataan di media sosial yang didakwa berbaur fitnah mengaitkan penglibatannya dalam jenayah pemerdagangan manusia.

Pernyataan fitnah itu membawa maksud kononnya Mashitah (plaintif) dan suaminya mempunyai hubungan perniagaan dan persahabatan dengan seorang individu yang didakwa sebagai pengasas serta ahli sindiket kepada satu kumpulan mafia yang didakwa dikenali sebagai `14K’.

Mashitah, 60, memfailkan saman itu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 September lalu atas kapasiti peribadi menerusi Tetuan Akberdin & Co.

Beliau menamakan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, 45, Ahli Jawatankuasa MHO Azirul Syafiq Sazali, 29, dan pertubuhan itu masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diikrarkannya, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia itu mendakwa Hishamuddin telah memuatnaik, menyiarkan, menerbitkan atau menyebarkan satu video kenyataan media yang dibuat ketiga-tiga defendan pada 28 Ogos lalu di akaun Facebook `Hishamuddin Hashim’.

Plaintif mendakwa klip kenyataan media itu beserta dengan kapsyen `Sidang Media Berkaitan Aduan Penglibatan Ahli Politik Malaysia Di Dalam Sindiket Pemerdagangan Manusia Berpusat Di Myanmar’ melalui satu posting Facebook milik MHO di bawah akaun yang dikenali sebagai `Hishamuddin Hashim’.

Dakwa plaintif pada tarikh sama, Azirul Syafiq juga memuatnaik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan klip video sama melalui satu posting Facebook miliknya.

Beliau berkata, pada keesokannya Hishamuddin memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan suntingan klip video bertarikh itu dengan kapsyen `Sidang Media berkenaan penglibatan bekas Timbalan Menteri dengan syarikat Dongmei Group yang didakwa antara sindiket pemerdagangan manusia & scam paling besar di Myawaddy, Myanmar’.

Katanya, melalui klip video itu, MHO dan Hishamuddin telah menunjukkan beberapa keping gambar plaintif (Mashitah) yang dikaburkan ketika kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan.

Menurut Mashitah, MHO dan Azirul Syafiq juga memuat naik kenyataan media bertulis oleh defendan ketiga itu yang disediakan dan dikeluarkan oleh MHO berkaitan klip video berkenaan.

Sementara itu, pada 3 September pula, Mashitah berkata MHO dan Azirul Syafiq memuat naik, menerbitkan dan menyebarkan satu posting Facebook yang memfitnahnya.

Memandangkan kononnya plaintif dan suaminya mempunyai hubungan dengan syarikat tersebut, maka plaintif dikaitkan sebagai individu yang sama-sama terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia.

Ini termasuk pemerdagangan rakyat Malaysia dan telah melakukan jenayah kemanusiaan terhadap individu-individu yang lemah dan/atau tidak berdosa tanpa sebarang belas ehsan dan perikemanusiaan.

Selain itu kenyataan itu juga membawa maksud penglibatan plaintif secara langsung dengan syarikat tersebut adalah suatu skandal jenayah terbesar yang amat memalukan negara ini pada mata dunia.

“Plaintif difitnah terlibat dengan salah guna kuasa dan rasuah semasa memangku jawatan Timbalan Menteri, tidak bermoral dan individu yang tidak patut disegani selain dikatakan menjatuhkan martabat wanita dan agama Islam di Malaysia,” kata pernyataan tuntutan itu.

Justeru plaintif menuntut, injunksi mandatori terhadap kesemua defendan supaya memadam semua hantaran dalam masa tujuh (7) hari daripada tarikh penghakiman, selaras dengan bidang kuasa Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 53 Akta Relif Spesifik 1950.

Selain itu plaintif turut memohon agar
wakil-wakil kesemua defendan atau sesiapa sahaja dihalang daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi, menerbitkan semula, menyiarkan semula atau berkongsi semula hantaran tersebut.

Pada 28 Ogos lalu, MHO meminta SPRM menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terbabit sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Hasil pemeriksaan polis mendapati tiada pelaburan dibuat beberapa individu termasuk bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di luar negara yang mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.

Berdasarkan hasil analisis beberapa akaun bank individu yang mendapati wang dalam akaun bank merupakan wang simpanan.

Selain itu, polis mengesahkan keberadaan ahli politik bersama suaminya serta tiga lagi individu ke Myanmar untuk urusan pelaburan hartanah namun siasatan mendapati tiada sebarang pelaburan dibuat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya