Mari mengundi, beri isyarat jelas kepada BN Johor - Utusan Malaysia

Mari mengundi, beri isyarat jelas kepada BN Johor

NOOR AZLEEN AMBROS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, termasuk yang berada atau bekerja di luar diminta pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi memberi ‘isyarat jelas’, khususnya kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, PRK DUN Mahkota boleh dianggap sebagai sebahagian kajian separuh penggal tentang pemerintahan kerajaan BN Johor kerana berlangsung kira-kira dua tahun setengah pemerintahannya yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“PRK ini boleh dianggap sebagai kajian separuh penggal dengan pengundi boleh hantar isyarat kepada kerajaan negeri.

“Andai kata kalau mereka memberi sokongan padu (kepada BN), saya yakin itu merupakan satu suntikan dan juga isyarat jelas yang dihantar kepada Menteri Besar.

“Ini kerana Menteri Besar akan merencanakan lebih banyak perkara penting untuk memajukan Johor, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat termasuk di DUN Mahkota,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun, sekiranya keputusan PRK DUN Mahkota adalah sebaliknya, Noor Azleen bimbang perancangan kerajaan negeri akhirnya akan merugikan pengundi.

“Kita kena beritahu seluruh rakyat Johor bahawa inilah peluang untuk mereka meletakkan syarat kepada kerajaan negeri.

“PRK ini diadakan ketika pemerintahan BN memasuki dua tahun setengah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022.

“Orang DUN Mahkota boleh bantu rakyat Johor dengan cara keluar mengundi beramai-ramai. Kita beri sedikit keterujaan agar mereka dapat bantu Johor,” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

PRK tersebut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN