Mara tidak kompromi penyewa culas, langgar kontrak - Utusan Malaysia

Mara tidak kompromi penyewa culas, langgar kontrak

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak lagi akan kompromi kepada penyewa premisnya yang culas serta melanggar kontrak termasuk tidak membuka kedai dan menjadikan lot sewa sebagai stor sehingga menyebabkan premis perniagaan di bawah agensi itu dilihat sendu.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau sudah meminta semua Pengarah Mara negeri dan daerah untuk mengambil tindakan segera berhubung isu tersebut.

“Insya-Allah, saya akan jadikan agenda mewajahkan kembali premis-premis perniagaan Mara sebagai keutamaan bukan sahaja memastikan imej baharu yang segar dan menarik, tetapi juga buka peluang kepada usahawan-usahawan baharu yang mahu menapak dan membangunkan perniagaan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam hantaran sama, Asyraf Wajdi berkongsi pengalaman beliau menerjah Plaza Mara di Bandar Kluang, Johor yang menyaksikan banyak lot-lot yang ditutup dan keadaan bangunan yang suram hingga dilihat tidak menarik kepada masyarakat.

Menurut beliau, kebanyakan penyewa mengambil kesempatan atas nilai sewaan yang amat rendah untuk dijadikan stor atau pejabat ‘bunian’ hingga menafikan hak usahawan lain yang benar-benar mahu berniaga.

Jelasnya, sikap itu yang menyebabkan plaza, arked dan premis-premis Mara kelihatan laih, suram dan tidak bermaya hingga menjejaskan perniagaan mereka yang ‘genuine’.

“Insya-Allah, semua 6,666 lot-lot premis perniagaan Mara ini akan dipantau dengan lebih tegas oleh Bahagian Infrastruktur Komersil Mara dengan penglibatan semua Pengarah-pengarah Mara negeri dan pegawai-pegawai Mara daerah. Arahan sudah dikeluarkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN