MERSING: Seorang lagi mangsa serangan gajah liar yang cedera parah dalam kejadian di kawasan hutan belukar belakang Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Tenggaroh 5, dekat sini ditidurkan hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa berusia 51 tahun kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan ditidurkan atas nasihat doktor.
“Keadaan mangsa kedua ketika ini telah ditidurkan oleh doktor bagi tujuan untuk menguatkan tubuh pesakit. Setakat ini kecederaan yang disahkan adalah pendarahan dalam kepala, satu ruas tulang rusuk patah dan patah tulang pinggul,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kejadian semalam, mangsa mengalami cedera parah manakala seorang lagi mangsa, Mohamad Syafik Yakob, 31, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2 selepas mengalami kecederaan pada bahagian leher kiri dan dada kiri.
Kedua-dua mangsa merupakan pekerja kontrak pembersihan sekolah dan cuba bertindak menghalau seekor gajah liar dari mendekati kawasan sekolah sebelum diserang binatang itu.
Mayat Mohamad Syafik dihantar ke Hospital Mersing sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenggaroh Timur 1, dekat sini. – UTUSAN