MERSING: Mangsa serangan gajah liar yang cedera parah dan ditidurkan semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sudah sedarkan diri.
Walau bagaimanapun, mangsa berusia 51 tahun yang terselamat dalam serangan seekor gajah liar di belakang Sekolah Kebangsaan LKTP Tenggaroh 5 itu masih lemah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa kini masih dirawat di hospital berkenaan.
“Mangsa kedua sebelum ini ditidurkan oleh doktor bagi tujuan untuk menguatkan tubuh pesakit. Mengikut maklumat diperoleh pada hari ini dia sudah sedar, cuma masih lemah memandangkan banyak kecederaan dialami,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa serangan gajah pada 26 September itu sebelum ini mengalami pendarahan dalam kepala, satu ruas tulang rusuk patah dan patah tulang pinggul.
Dalam serangan itu, seorang lagi mangsa, Mohamad Syafik Yakob, 31, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2 selepas mengalami kecederaan pada bahagian leher dan dada kiri.
Kedua-dua mangsa yang merupakan pekerja kontrak pembersihan sekolah cuba bertindak menghalau seekor gajah liar dari mendekati kawasan sekolah sebelum diserang binatang itu – UTUSAN