Malaysia buat rayuan tambah kuota jemaah haji

Malaysia buat rayuan tambah kuota jemaah haji

MOHD. Na'm Mokhtar (dua dari kiri) menyampaikan watikah kepada PETKA yang menghadiri MHPK 1446H/2025M di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Malaysia sudah mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Arab Saudi untuk pertambahan kuota haji jemaah haji.

Menterinya Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau sudah mengutus surat kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr. Tawfiq Fawzan untuk mempertimbangkan penambahan kuota itu.

Menurutnya, setakat ini kerajaan belum menerima respons dari pihak Kerajaan Arab Saudi.

“Kouta jemaah kita kekal pada jumlah 31,600 dan belum ada sebarang pertambahan buat masa ini.

“Bagaimanapun, Lembaga Tabung Haji (TH) telah memulakan persediaan awal untuk menyiapkan bakal jemaah haji bagi menghadapi musim haji pada tahun hadapan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) 1446H/2025M di sini, malam ini.

Mohd. Na’im memberitahu, MHPK ke-41 merupakan salah satu persiapan awal yang sangat signifikan dalam membincangkan secara tuntas isu-isu berkaitan ibadat haji.

“MHPK membincangkan isu-isu berbangkit yang perlu diberikan keutamaan untuk diketengahkan dalam musim haji akan datang.

“Isu-isu diperbincangkan akan dijadikan resolusi dan diangkat ke Jabatan Haji serta disebarkan kepada semua Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) untuk dimaklumkan kepada semua bakal jemaah haji melalui semua kursus dijalankan TH,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Na’im berkata, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) hanya akan mengeluarkan pandangan hukum berkaitan isu Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) dan bukan fatwa.

“Perkara berkaitan GISBH telah dibincangkan pada malam kelmarin dan jawatankuasa tersebut telah mengeluarkan pandangan hukum dan bukan fatwa kerana fatwa akan diputuskan di negeri masing-masing.

“Apa yang diputuskan oleh jawatankuasa itu akan dibawa ke Majlis Raja-Raja pada 23 dan 24 Oktober untuk mendapat perkenan duli-duli tuanku, sebelum dibawa ke jawatankuasa fatwa negeri masing-masing untuk proses pengeluaran dan pewartaan fatwa,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN